Thursday, May 22, 2008

Tragedi Kebakaran Rumah Panjang Punan Bah

Tarikh 5 Mei 2008 akan terpahat sebagai satu sejarah hitam bagi semua warga Kampung Punan Bah, Belaga. Kebakaran dahsyat yang berlaku kira-kira pukul 1 tengahari itu telah memusnahkan sama sekali 3 blok rumah panjang yang mengandungi 37 unit pintu. Walaupun tidak ada nyawa yang melayang, kemusnahan akibat kebakaran itu melibatkan kerugian harta benda melebihi setengah juta ringgit. Bayangkan betapa mewahnya rumah panjang etnik Punan (disebut juga oleh para sarjana terdahulu sebagai etnik Punan Bah) ini meskipun terletak jauh di pedalaman Sarawak. Kampung Punan Bah merupakan rumah panjang yang tertua dan terbesar di Sarawak. Orang selalu kata, kemewahan dan kekayaan harta benda boleh dicari ganti. Bagi etnik Punan di Kampung Punan Bah, barang kali sukar untuk menerima kata-kata itu. Konteks harta berharga bagi mereka bukanlah semata-mata dalam bentuk barang mewah seperti yang kita fahami secara umum seperti perabot mahal yang berharga ribuan ringgit. Memang benar bahawa banyak juga bilik-bilik rumah panjang ini dilengkapi dengan harta berharga seperti itu.

Mungkin benar juga kata orang bahawa kekayaan harta benda boleh dicari ganti. Bagi penduduk yang menjadi mangsa kebakaran tragis itu, suatu hari kelak pasti akan dapat mengembalikan semula kekayaan mereka yang sudah hilang. Namun, bagaimana pula dengan segala harta warisan tradisi nenek moyang mereka, dapatkah mereka mengembalikan dengan semudah yang kita fikir? Sungguh menyedihkan, segala warisan berbentuk material yang merupakan indentiti penting bangsa mereka lenyap begitu sahaja. Kelirieng (burial post) yang berusia ratusan tahun hilang dari pandangan. Khazanah tradisional seperti kraftangan yang unik, alat muzik tradisional dan pelbagai lagi artifak budaya tradisi etnik Punan, termasuklah struktur serta reka bentuk tradisi rumah panjang lenyap begitu sahaja.

Hari ini, blok rumah panjang Punan Bah yang terbakar itu hanya tinggal tiang dan tapaknya sahaja. Segala kenangan di dalamnya sejak sekian lama juga hanya tinggal sejarah. Tapi apakan daya, takdir Tuhan lebih berkuasa, mungkin ada hikmah di sebaliknya...






No comments: