Monday, November 10, 2008

Dr Ida Nicolaisen Melawat Punan

Dr. Ida Nicolaisen mrancang apun Sarawak dlm msa trdekat. Ni sbhgn emel Ida apun uak ;
"...I am writing to tell you that I am planning to come to Sarawak for a month from mid January and wonder whether I have a chance to meet you during my stay.I am coming back because I finally have the time to return to my huge material about Punan traditions and write one or two books about it. I also intend to make my tapes and many, many photograps accessable to you and other Punan. I would love to talk with you about how to do that. I do have in mind also to discuss my findings with you and other young Punan about your values and what the old traditions mean to you. If you have the e-mail addresses of other young Punan from Lovo Bah, Lovo Biau, Lovo Sama, Kakus and Padan I would be most trateful to have them.I am also most curious to learn how your family is doing at Lovo Bah. It was a terribly, terriby accident with the fire. I so pity everyone."
Apun smua Punan, ambil ksmptn tbaik ini utk brtnya khbr (mare tuan jam pelo'ie Punan) & brkngsi mklumat unan Ida. Apun smua mahasiswa/i Punan, graduan & ahli akademik, gunakn la ksmptn ini utk brkngsi ptghn/kpkaran unan Ida. Yg plg pnting, apun PNA,diharapkn dpt berbuat sst tindakan/usaha yg konstruktif smpena lawatan Ida. Bukan mudah & selalu kta dpt bjmpa & brbncang dgn tokoh akademik yg bnyk bjasa dlm aspek pkjian khzanah bngsa Punan. Sama2lah kta hrgai usaha gigih seorg pkaji yg sntiasa mbrikn kmitmen yg tgi dlm aspek mnonjolkn budaya, sejarah tradisi lisan, keunikan sosial masy Punan ke serata dunia mnerusi kjian/penulisan ilmiahnya.
TQ so much Ida.

Friday, November 7, 2008

Tema dan Perspektif Keruangan dalam Geografi : Kajian Kes Kampung (Rumah Panjang) Punan Bah, Belaga, Sarawak.

Geografi memberi pandangan asas tentang dunia tempat tinggal kita dan cara manusia mengorganisasikan ruang. Alexander von Humboldt dan Carl Ritter yang terkenal sebagai bapa geografi fizikal dan manusia pernah mengatakan bahawa tugas yang paling wajar bagi ahli geografi ialah penerangan dunia sebagai tempat kediaman manusia (Pangiras Micheal: 1994: 10). Perspektif keruangan pula adalah suatu unsur yang amat penting untuk memahami segala kegiatan manusia yang berlaku di permukaan bumi dan juga untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan tersebut (Chan Ngai Weng et.al. : 1993: 88). Sifat-sifat keruangan menarik minat ahli geografi untuk mengkaji bagaimana tempat, barang, orang, benda dan sebagainya berada, terorganisasi dan tersusun di muka bumi. Minat geografi terhadap aspek ruang membawa ahli geografi kepada pertanyaan asas geografi seperti “why of where”, kenapa dan bagaimana sesuatu boleh berlaku di sesuatu tempat dan menghasilkan sesuatu pola atau bentuk? Bagaimana sesuatu boleh berada di sesuatu tempat dan tidak di tempat lain? Sejauh manakah sesuatu yang berbeza di sesuatu tempat boleh mempengaruhi tempat lain? Pertanyaan asas geografi inilah yang akan membantu kita untuk memahami dunia kita (De Blij & Murphy: 2003: 5-7).

Perspektif keruangan dalam geografi seperti mana yang telah diperkenalkan oleh Geography Education National Implementation Project (GENIP) pada 1986 di Amerika Syarikat memfokuskan kepada lima tema iaitu lokasi, interaksi antara manusia dan persekitaran, wilayah, tempat, pergerakan, dan satu lagi tema yang tidak dispesifikkan oleh GENIP ialah landskap (Ibid.: 6-8). Sebenarnya, keenam-enam tema yang menjadi fokus perspektif keruangan dalam geografi tersebut begitu dinamik sifat dan konteksnya mengikut peredaran zaman serta selari dengan perkembangan paradigma disiplin geografi. Kedinamikan tersebut kadang kala menimbulkan pertembungan ataupun percanggahan dalam soal pemahaman dan pengertian kita terhadap tema-tema perspektif keruangan dalam ilmu geografi. Namun, hakikat yang pastinya tidak berubah adalah perspektif keruangan yang dinyatakan ini sememangnya amat berguna dalam usaha kita untuk memahami persekitaran kita. Dengan merujuk kajian kes di Kampung (Rumah Panjang) Punan Bah, Sarawak, penulisan ini akan mengupas tema-tema perspektif keruangan itu untuk menjelaskan kepentingan geografik tempat tersebut.


Gambaran Umum Kampung Punan Bah

Kampung Punan Bah merupakan sebuah rumah panjang yang agak terpencil di daerah pedalaman negeri Sarawak. Rumah panjang ini sememangnya unik dan mempunyai nilai sejarahnya tersendiri memandangkan ia dipercayai sebagai sebuah perkampungan etnik Punan (atau diklasifikasi oleh Ida Nicolaisen sebagai etnik Punan Bah) yang tertua dan terbesar di negeri Sarawak. Harus diingatkan di sini bahawa etnik Punan yang dinyatakan tadi adalah berbeza dengan satu lagi etnik peribumi Sarawak yang disebut Penan. Hal ini ditekankan kerana sehingga hari ini, masih ramai rakyat Malaysia masih keliru dalam memahami dua etnik ini dan sering beranggapan Punan dan Penan adalah satu kumpulan etnik yang sama sedangkan banyak kajian sosiologi mahupun antropologi telah membuktikan kedua-duanya jauh berbeza. Walaupun tidak diketahui dengan tepat usia kewujudannya, namun berdasarkan kajian seorang sarjana sosiologi, Ida Nicolaisen pada tahun 1970-an, dipercayai rumah panjang Punan Bah ini telah wujud sejak lebih 250 tahun yang lalu (Ida Nicolaisen: 1977/78).

Berdasarkan bukti arkeologi dan eksplorasi tradisi sejarah lisan etnik Punan Bah, Ida Nicolaisen telah mampu memberikan gambaran yang cukup jelas tentang kewujudan Kampung Punan Bah sebagai salah sebuah penempatan terawal orang Punan di Sarawak (maklumat terperinci sila rujuk Ida Nicolaisen: 1976, Ida Nicolaisen: 1977/78, Ida Nicolaisen: 1986 dan Ida Nicolaisen & Tinna Damgard-Sorensen: 1991). Contohnya, sejarah migrasi kumpulan etnik Punan Bah yang diketengahkan dalam penulisan Ida Nicolaisen membuktikan bahawa tapak Kampung Punan Bah yang terletak di muara Sungai Bah sekarang merupakan salah satu penempatan terawal yang turut menjadi salah satu ‘port’ migrasi kumpulan etnik Punan ke kawasan lain (Ida Nicolaisen: 1976: 73).



Perbincangan tentang Tema dan Perspektif Keruangan dalam Konteks Kepentingan Geografik Kampung Punan Bah.

(1) Lokasi

Tema lokasi menggambarkan bagaimana posisi manusia dan benda di atas permukaan bumi mempengaruhi tentang apa yang berlaku dan kenapa ia berlaku. Lokasi menjadi satu perkara asas dalam bidang berkenaan geografi, yakni membantu manusia mengorganisasikan dan menyesuaikan keadaan proses dan peristiwa (De Blij & Murphy: 2003: 7). Menurut Cloke, Philo dan Sadler, 1991, geografi adalah penuh dengan lokasi mutlak dan lokasi relatif (Pangiras Micheal: 1994: 11). Lokasi Kampung Punan Bah akan dibincangkan berdasarkan lokasi mutlak dan lokasi relatifnya.

Lokasi mutlak umumnya merujuk kepada posisi atau kedudukan manusia dan barang yang yang secara semula jadi tidak berubah. Kampung Punan Bah mengikut lokasi mutlaknya terletak di Daerah Belaga. Melalui peta pula, kita boleh menentukan rangka rujukan yang diterima umum berdasarkan latitud dan longitud sesuatu tempat. Contohnya, Kampung Punan Bah terletak pada koordinat N 2˚ 22' 55.7" dan E 113˚ 21' 0.9". Koordinat lokasi mutlak sangat penting untuk menentukan jarak dan arah sesuatu lokasi.

Lokasi relatif pula merujuk kepada hubungan sesuatu lokasi dengan manusia dan ciri-ciri fizikal sesuatu landskap. Berdasarkan peta, kita dapat mengetahui jarak relatif Kampung Punan Bah (rujuk gambarajah 2) dengan lokasi di tempat lain di samping menjelaskan peranan dan fungsi relatifnya dengan lokasi di persekitarannya. Contohnya, Kampung Punan Bah dapat dihubungi dari Pekan Belaga melalui jalan sungai sejauh kira-kira 70 km dalam masa satu setengah jam perjalanan dengan menggunakan boat express. Dengan jarak kira-kira 99 km dari Bandar Kapit pula, kampung ini dapat dihubungi dengan boat express yang memakan masa lebih kurang tiga jam perjalanan.

Sesuatu yang menarik mengenai lokasi relatif ialah sifatnya yang boleh berubah mengikut perubahan landskap, teknologi, pembangunan kawasan dan sebagainya. Misalnya, sehingga akhir 1970-an, masyarakat di sekitar Kampung Punan Bah masih menggunakan perahu panjang (disebut “salui” dalam bahasa Punan) sebagai alat pengangkutan utama (Ida Nicolaisen: 1991) yang dianggarkan mengambil masa kira-kira dua minggu perjalanan ke Bandar Kapit dan lebih kurang seminggu perjalanan ke Pekan Belaga. Menjelang era 1970-an sehingga awal 1990-an, apabila tongkang yang dibawa masuk oleh pengusaha Cina/towkey Cina disusuli boat express yang lebih moden, maka perubahan jarak perjalanan amat drastik, iaitu kira-kira enam hingga tujuh jam dari Bandar Kapit dan tiga hingga empat jam dari Pekan Belaga. Selari dengan perkembangan teknologi pengangkutan yang mana boat express berkuasa tinggi berasaskan teknologi perkapalan moden digunakan selewat-lewatnya menjelang pertengahan 1990-an, jarak relatif itu berubah kepada semakin singkat yakni kira-kira tiga jam dari Bandar Kapit dan satu setengah jam dari Pekan Belaga.

Malahan, perkembangan dalam proses penambahbaikan rangkaian jalan balak menjelang tahun 2000 telah membolehkan kampung ini dihubungi melalui jalan darat dari Bandar Bintulu yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan kereta pacuan empat roda. Meskipun perjalanan menggunakan jalan raya tidak berturap (jalan balak) ini agak sukar dan kurang “selesa” kepada para penggunanya, rangkaian pengangkutan jalan darat ini merupakan altenatif paling efisien ketika musim kemarau yang mana pengangkutan jalan sungai tidak dapat digunakan.

(2) Interaksi antara Manusia dan Persekitaran

Tema interaksi antara manusia dan persekitaran pula berkisar tentang persoalan bagaimana kumpulan manusia yang berbeza budaya memahami, menggunakan dan mentransformasikan persekitaran mereka, juga bagaimana persekitaran mempengaruhi aktiviti manusia (De Blij & Murphy: 2003: 7). Konsep determinisme alam sekitar merujuk kepada kepercayaan dalam kalangan ahli geografi bahawa alam sekitar semula jadi akan menentukan segala tingkah laku dan sifat fizikal manusia (Chan Ngai Weng et.al.: 1993: 32). Kerelevanan determinisme alam ini sememangnya tidak dinafikan jika kita merujuk senario yang berlaku di Kampung Punan Bah sebelum era 1990-an. Aktiviti seharian masyarakat kampung ini ketika itu amat dipengaruhi oleh faktor alam sekitar seperti bentuk muka bumi, cuaca dan sumber semula jadi. Contohnya, bentuk muka bumi yang berbukit dengan landskap banjaran dan lereng pergunungan yang subur telah menjadikan aktiviti penanaman padi bukit sebagai aktiviti ekonomi utama (Ida Nicolaisen: 1986: 96). Memandangkan kesuburan tanah yang tidak konsisten atau kekal lama, maka penanaman padi bukit telah dijalankan secara pertanian pindah. Akibat daripada corak pertanian pindah menyebabkan lokasi tapak pertanian itu semakin jauh dari kawasan persekitaran kampung. Keadaan menjadi rumit dengan ketiadaan rangkaian jalan raya yang tidak dapat dibina kesan daripada bentuk muka bumi yang curam dan tinggi. Dalam hal ini, pengaruh alam amat penting yang mana sungai menjadi satu-satunya jalan pengangkutan terpenting untuk sampai ke kawasan pertanian tersebut. Jika umumnya aktiviti pertanian bergantung kepada keadaan bentuk muka bumi, aktiviti perikanan sungai yang turut dijalankan penduduk kampung pula dipengaruhi oleh keadaan cuaca. Keadaan cuaca sama ada baik atau buruk sentiasa mempengaruhi hasil tangkapan penduduk.

Seperkara lagi yang boleh kita ketengahkan untuk membuktikan dominannya falsafah determinisme alam ini ialah aspek perubatan tradisional. Suatu masa dahulu, kemudahan perubatan dan klinik belum terdapat lagi di kampung ini. Penduduk terpaksa pergi ke Pekan Belaga atau Bandar Kapit sekiranya ingin mendapatkan rawatan dan bekalan ubat. Tetapi, kekangan dari segi darjah ketersampaian yang amat sukar itu tidak akan menggalakkan penduduk untuk mendapatkan rawatan di klinik kerajaan. Maka, di sinilah terbukti konsep deteminisme ini begitu dominan yang mana penduduk bergantung sepenuhnya kepada “farmasi alamiah”, yakni sumber perubatan semula jadi yang diperoleh dari dalam hutan seperti herba, akar-akar ubat, pucuk-pucuk kayu yang mujarab dan sebagainya.

Namun, selari dengan perkembangan era modenisasi pada masa kini, nampaknya konsep determinisme itu semakin beransur-ansur hilang dan digantikan dengan konsep posibilisme. Bertentangan dengan konsep determinisme, konsep posibilisme cenderung mementingkan pengaruh dominan manusia terhadap alam sekitar, iaitu bagaimana manusia dapat menyesuaikan diri dengan alam sekitar dan sejauh mana mereka dapat mengubah unsur-unsur alam sekitar (Chan Ngai Weng et.al.: 1993: 41). Pada masa kini, kehidupan penduduk Kampung Punan Bah tidak lagi dipengaruhi sepenuhnya oleh pengaruh alam sekitar. Contohnya, perkembangan teknologi pertanian telah membolehkan penggunaan baja kimia dan organik digunakan dalam aktiviti penanaman padi bukit sehingga membolehkan selang masa perpindahan tanah pertanian meningkat sehingga tiga hingga lima tahun berbanding setahun sebelum ini. Malah, teknologi penggiliran tanaman yang lebih sistematik melalui skim galakan pertanian kerajaan menyebabkan tanah kekal berproduktif dan senario pertanian pindah semakin berkurangan. Sebenarnya masyarakat Punan Bah tidak “kekok” mengadaptasi teknologi moden itu memandangkan tradisi masyarakat ini yang telah lama mengamalkan “sistem kepelbagaian tanaman” dalam sesuatu tapak pertanian. Dipercayai mereka boleh menanam lebih 26 jenis tanaman pada satu-satu masa di atas sebidang tanah yang sama. Pembinaan jalan raya tidak berturap akibat kepesatan aktiviti pembalakan pula telah menjadikan perjalanan ke tapak pertanian semakin singkat jika dibandingkan sebelum ini terpaksa melalui sungai yang berjeram dalam perjalanan yang sukar dan memakan masa yang agak lama.

(3) Wilayah

Konsep wilayah merupakan istilah yang kita gunakan untuk merujuk kepada imej mental permukaan bumi yang dibezakan oleh suatu bahan jalinan yang amat kompleks dan yang dihasilkan oleh pelbagai proses yang saling berkaitan (E. James & J. Martin: 1991: 520). Mengikut gabungan definisi yang dikemukakan oleh beberapa orang ahli geografi, wilayah boleh didefinisikan sebagai satu kawasan alam sekitar fizikal yang mempunyai persamaan rupa bentuk serta di dalamnya berlaku proses pembangunan fizikal yang berkaitan dengan kehidupan manusia dan membentuk satu keseragaman ekonomi dan struktur sosial (Minshull, 1967) (Chan Ngai Weng et.al. : 1993: 68). Persekitaran Kampung Punan Bah meliputi kawasan tebing sungai yang dikelilingi kawasan berbukit-bukau dan landskap banjaran gunung yang tinggi. Kombinasi sifat-sifat tanah tinggi yang seragam itu menjadikan wilayah formal yang terhasil di kawasan itu ialah wilayah pergunungan. Atas sifat “homogenous”, yakni dari segi kewujudan satu etnik sahaja yang menetap di kampung ini, maka boleh juga kawasan ini dispesifikasikan sebagai “wilayah petempatan etnik Punan” di Sarawak.

Kampung Punan Bah mempunyai pertalian dari segi ekonomi, iaitu sebagai pembekal hasil pertanian, hasil perikanan sungai dan produk kraftangan kepada tempat lain khususnya Bandar Kapit, Bandar Bintulu dan Pekan Belaga. Contohnya, pembukaan ladang kelapa sawit secara besar-besaran sejak tahun 2000 di kawasan tanah NCR (Native Customary Rights) kampung ini akan menjadikan kampung ini sebagai pembekal hasil kelapa sawit kepada pusat pasaran terutama Bandar Kapit, Bandar Bintulu dan Pekan Belaga. Maka, fungsi kampung ini sebagai satu wilayah pertanian komersil adalah merujuk kepada sifat wilayah fungsi kawasan tersebut.

Di samping itu, keunikan alam semulajadi yang masih terpelihara, kewujudan pusat budaya dan kraftangan, serta kemudahan “homestay” menunjukkan wilayah fungsi kampung ini sebagai salah satu pusat eko-pelancongan di Bahagian Kapit. Seterusnya, disebabkan kampung ini terletak di kawasan terpencil dan darjah ketersampaian yang sukar sama ada melalui jalan darat atau air, maka wilayah persepsi bagi kawasan ini barangkali tepat sebagai salah satu wilayah pedalaman di negeri Sarawak.

(4) Tempat

Sesuatu tempat di permukaan bumi memiliki ciri-ciri budaya dan sifat-sifat fizikalnya tersendiri. Satu tujuan geografi ialah untuk mengkaji sifat-sifat istimewa dan makna sesuatu tempat. Pemahaman manusia terhadap diversiti berakar umbi pada tempat, jadi konsep ini penting untuk membawa pengalaman manusia ke dalam gambaran geografi (De Blij & Murphy: 2003: 7-8). Meskipun Rumah Panjang Punan Bah merupakan suatu perkampungan yang terpencil di Sarawak, tetapi kampung ini kaya dengan pelbagai khazanah alam semula jadi dan juga nilai budaya tradisional masyarakatnya. Dengan suasana iklim dan cuaca yang lembap dan sejuk, suhu maksimum di bawah 27˚C, min hujan tahunan melebihi 2000 mm setahun, dan udara yang bebas daripada pencemaran asap kilang atau kenderaan bermotor, maka suasana tempat ini begitu sesuai untuk berehat dan “melarikan” diri daripada kesibukan dunia di kota.

Dengan wujudnya pusat budaya dan kraftangan masyarakat Punan di kampung ini, barangkali tempat ini begitu istimewa bagi penggemar atau pengkaji budaya, muzik dan kraftangan tradisional. Peningkatan jumlah kedatangan pelancong asing ke kampung ini saban tahun membuktikan keistimewaan kampung ini sebagai pusat pelancongan budaya tradisional (barangkali termasuklah pusat tamadun purba etnik Punan berdasarkan kewujudan kelirieng ( “burial pole” yang berusia ratusan tahun) (rujuk gambarajah). Ciri-ciri istimewa tempat ini mungkin tidak wujud di tempat lain.




Gambarajah: Kelirieng(burial pole) di Punan Bah



(5) Pergerakan

Tema ini merujuk kepada pergerakan manusia, barang dan idea dalam ruang global (Ibid : 8). Dengan merujuk kepada Kampung Punan Bah, tema pergerakan boleh dibincangkan dari sudut migrasi manusia, pergerakan barangan dan idea. Peningkatan drastik dalam pengaksesan pendidikan dalam kalangan generasi muda sejak tahun 1990-an telah menggalakkan migrasi keluar dari kampung ini ke tempat lain sama ada untuk melanjutkan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi atau tahap pendidikan yang memadai membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan di bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Kuala Lumpur. Dari segi pergerakan barang pula, pembangunan sektor pertanian komersil khususnya kelapa sawit telah mewujudkan rangkaian jalan raya yang semakin meluas untuk membawa hasil pertanian ke kilang utama di bandar utama seperti Bandar Bintulu.


Kewujudan jalan raya dan pengenalan alat pengangkutan sungai berteknologi tinggi (contohnya bot ekspress berkuasa tinggi) telah mempercepatkan pergerakan manusia dan secara tidak lansung idea di kampung ini. Contoh dari segi pergerakan idea misalnya, kedatangan pelancong tempatan dan asing telah menyebabkan idea seni ukiran masyarakat Punan yang unik telah tersebar ke serata dunia. Penulis masih ingat pada tahun 1998, terdapat sekumpulan pelancong dari Barat (mereka sebenarnya dari sebuah syarikat ukiran tattoo di Amerika Syarikat) telah datang ke kampung ini dan mengambil sampel-sampel ukiran tradisional yang pelbagai jenis sama ada yang diukir pada kayu atau di“tattoo” pada bahagian badan. Jadi, penulis percaya idea tentang corak ukiran tradisional itu telah dibawa ke luar negara oleh pelancong tersebut dan disebarkan sebagai komoditi pasaran tattoo pada peringkat antarabangsa.

(6) Pandang Darat

Akhir sekali, tema pandang darat atau landskap merujuk kepada ciri-ciri dan keadaan sesuatu tempat seperti sifat kompleks semula jadi, struktur manusia dan objek nyata yang membentuk idea tempat dan interaksi (Ibid: 8). Idea pembentukan landskap petempatan (rumah panjang) barangkali terhasil daripada interaksi dalam kalangan penduduk yang saling memerlukan, semangat kerjasama dan bersatu padu. Selain itu, idea pemilihan tapak perkampungan di lembah sungai pula mungkin dipengaruhi oleh kesedaran tentang pentingnya sungai itu sebagai sumber air untuk keperluan harian di samping berfungsi sebagai jalan pengangkutan utama. Malah, landskap pertanian dan pandang darat sungai yang terdapat di persekitaran kampung tersebut telah menghasilkan satu corak petempatan desa yang amat berbeza dengan corak petempatan bandar.

KESIMPULAN

Perbincangan tadi telah mengupas enam perspektif keruangan yang penting dalam pengkajian geografi. Kupasan tentang tema lokasi, interaksi antara manusia dan persekitaran, wilayah, tempat, pergerakan, dan landskap berdasarkan kajian kes di Kampung Punan Bah sedikit sebanyak telah menjelaskan kepentingan geografik kampung tersebut. Barangkali kupasan dan interpretasi tentang keenam-enam perspektif keruangan tadi mungkin agak ringkas dan kurang menyeluruh, tetapi hal itu bukanlah suatu permasalahan yang besar kerana apa yang penting kupasan itu sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk memahami persekitaran serta dunia kita.
Makalah Geografi ini ditulis oleh:
Mikal Minsai,
BA(Edu.), USM, Penang.
-2007-

Thursday, November 6, 2008

Sarawak

Those who have not visited Sarawak have missed one of the best parts of the world. The land is so rich and varied that it takes many months to appreciate the natural beauty of Sarawak. It is so rich and impressive that one wonders why so few people have experienced its magnificent wildness. The people are a wonder- dainty bronzed people with beautiful features and skin and radiant ebony eyes. They are sincerely friendly and more spiritual than the Westerner- they move with a grace we can never equal. To live among them is to know contentment unknown to the West; a visitor to Sarawak can come closer to Paradise than almost anywhere on Earth. (Peter Anderson: 1996)

Punan atau Punan Bah?

Barang kali isu Punan atau Penan sudah hampir selesai. Melalui inisiatif PNA, akhirnya kod bagi kaum Punan dan Penan yang sebelum ini disamakan telah diasingkan. Punan diklasifikasikan dalam kod yg berbeza dengan kod Penan.

Namun, jika difikirkan kembali timbul suatu persoalan lain yang tidak kurang pentingnya. Adakah istilah “Punan” relevan diguna pakai untuk merujuk kaum Punan di Sarawak? Jika kita lihat dari perspektif Sarawak secara keseluruhannya, memang jawapannya relevan.

Masalah pasti timbul, apabila kita merujuk kepada konteks kaum Punan yang bernaung di bawah Punan National Assosiation (PNA). Kaum Punan yang difahami dari sudut PNA semestinya tidak sesekali melibatkan Punan lain seperti Punan Busang, Punan Lusong Laku, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, PNA hanya melibatkan semua orang Punan seperti mana yang diklasifikasikan oleh Ida Nicolaisen sebagai etnik Punan Bah.

Dalam kajiannya, Ida telah membuktikan orang Punan dari Long Bah (Punan Bah), Punan Biau, Punan Sama, Punan Kakus, Punan Pedan dan Punan Jelalong adalah berasal dari warisan Punan Bah. Kebanyakan generasi lama (linou mongo) menggelarkan diri mereka sebagai Punan Bah.

Jadi, dalam penulisannya, Ida tidak menggunakan istilah “Punan” tetapi menggunakan istilah “Punan Bah”. Ida menggunakan istilah “Punan Bah” bukan semata-mata merujuk kepada Lovuk Punan Bah, tetapi merujuknya sebagai suatu entiti etnik di Sarawak. Pada hari ini, orang kita hanya tahu Punan Bah hanyalah sebuah kampung Punan.

Persoalannya, harus masyarakat Punan pada hari ini terus melupakan istilah “bengesak Punan Bah” kerana sudah cukup mengenali istilah “Punan” semata-mata?

Thursday, May 22, 2008

Tragedi Kebakaran Rumah Panjang Punan Bah

Tarikh 5 Mei 2008 akan terpahat sebagai satu sejarah hitam bagi semua warga Kampung Punan Bah, Belaga. Kebakaran dahsyat yang berlaku kira-kira pukul 1 tengahari itu telah memusnahkan sama sekali 3 blok rumah panjang yang mengandungi 37 unit pintu. Walaupun tidak ada nyawa yang melayang, kemusnahan akibat kebakaran itu melibatkan kerugian harta benda melebihi setengah juta ringgit. Bayangkan betapa mewahnya rumah panjang etnik Punan (disebut juga oleh para sarjana terdahulu sebagai etnik Punan Bah) ini meskipun terletak jauh di pedalaman Sarawak. Kampung Punan Bah merupakan rumah panjang yang tertua dan terbesar di Sarawak. Orang selalu kata, kemewahan dan kekayaan harta benda boleh dicari ganti. Bagi etnik Punan di Kampung Punan Bah, barang kali sukar untuk menerima kata-kata itu. Konteks harta berharga bagi mereka bukanlah semata-mata dalam bentuk barang mewah seperti yang kita fahami secara umum seperti perabot mahal yang berharga ribuan ringgit. Memang benar bahawa banyak juga bilik-bilik rumah panjang ini dilengkapi dengan harta berharga seperti itu.

Mungkin benar juga kata orang bahawa kekayaan harta benda boleh dicari ganti. Bagi penduduk yang menjadi mangsa kebakaran tragis itu, suatu hari kelak pasti akan dapat mengembalikan semula kekayaan mereka yang sudah hilang. Namun, bagaimana pula dengan segala harta warisan tradisi nenek moyang mereka, dapatkah mereka mengembalikan dengan semudah yang kita fikir? Sungguh menyedihkan, segala warisan berbentuk material yang merupakan indentiti penting bangsa mereka lenyap begitu sahaja. Kelirieng (burial post) yang berusia ratusan tahun hilang dari pandangan. Khazanah tradisional seperti kraftangan yang unik, alat muzik tradisional dan pelbagai lagi artifak budaya tradisi etnik Punan, termasuklah struktur serta reka bentuk tradisi rumah panjang lenyap begitu sahaja.

Hari ini, blok rumah panjang Punan Bah yang terbakar itu hanya tinggal tiang dan tapaknya sahaja. Segala kenangan di dalamnya sejak sekian lama juga hanya tinggal sejarah. Tapi apakan daya, takdir Tuhan lebih berkuasa, mungkin ada hikmah di sebaliknya...






Wednesday, May 21, 2008

Kelovi Punan Bah

Salam sejahtera semua...
Blog kelovipunanbah ini merupakan pentas terbuka untuk menyuarakan idea tentang segala isu yang berkaitan dunia etnik Punan (Punan Bah) secara amnya, dan memaparkan apa saja isu kontemporari yang berhubung kait serta mempunyai perkaitan timbal balik sama ada dalam bentuk positif mahupun negatif kepada kehidupan seharian warga Punan (Punan Bah). Diharapkan segala isu yang dibangkitkan dalam penulisan blog memberi banyak informasi kepada sesiapa sahaja yang ingin tahu tentang perkembangan masyarakat Punan (Punan Bah) di seluruh Malaysia. TQ