Saturday, June 6, 2009

Pensejarahan Etnik Punan: Sekadar suatu Impian?

Eksplorasi tentang latar belakang sejarah sebahagian besar daripada etnik pribumi di Sarawak boleh dikatakan kurang diberi perhatian dan sering kali dipinggirkan khususnya dalam kalangan sarjana sejarah di Malaysia. Dalam kalangan golongan etnik Sarawak yang pelbagai dan kompleks, hampir keseluruhan fokus penyelidikan sarjana tempatan lebih memihak kepada golongan etnik majoriti khususnya Iban, Melayu, dan Bidayuh. Perhatian sangat kurang diberikan terhadap golongan etnik minoriti yang sebenarnya merupakan pribumi terawal yang mendiami “Bumi Kenyalang”. Kalau ada pun kajian yang berkenaan golongan etnik minoriti ini, fokus dan perhatian masih lagi cenderung kepada etnik yang lebih majoriti dalam kalangan etnik minoriti tersebut khususnya etnik Kenyah dan Kayan. Itupun bukanlah boleh dikatakan sebagai suatu kajian sejarah dalam erti kata sebenar kerana kebanyakan kajian itu berupa “selitan” atau “cebisan” daripada kajian sosiologi, arkeologi dan antropologi. Implikasi daripada perkara di atas telah menyebabkan kita terpaksa bergantung kepada hasil kajian sosiologi, arkeologi dan antropologi dalam usaha menyorot latar belakang dan kajian masa lalu berkenaan sejarah etnik yang ingin dikaji.

Sehingga hari ini, boleh dikatakan bahawa belum ada lagi kajian sejarah yang dicadangkan mana-mana bahagian sejarah universiti-universiti di Malaysia untuk mengkaji dan mendokumentasikan sejarah etnik Punan di Sarawak. Barang kali hal ini disebabkan anggapan umum bahawa sebahagian etnik pribumi Sarawak yang pelbagai, termasuklah etnik Punan itu tidak mempunyai sumber sejarah rasmi ekoran ketiadaan sumber bertulis seperti karya Sulalatus Salatin yang menjadi sumber penulisan sejarah masyarakat Melayu. Sejarah tanpa sumber sejarah tergolong dalam karya “tak sejarah”, maka dengan ini tidak mungkin ada sarjana sejarah yang akan menulis karya berkenaan sejarah etnik Punan. Namun demikian, kesedaran mengenai peri pentingnya menonjolkan sejarah asal usul etnik pribumi Sarawak dalam kalangan sarjana sosiologi dan antropologi sejak awal tahun 1950-an hingga 1980-an telah membolehkan kita mendapat maklumat yang penting mengenai latar belakang sejarah etnik Punan yang diselitkan dalam kajian mereka dan diketengahkan dalam karya-karya yang dihasilkan. Harus diingatkan juga bahawa dalam tempoh tersebut, tidak ada seorang pun sejarawan tempatan yang pernah mengkaji mahupun menulis mengenai sejarah etnik Punan di Sarawak. Jadi, jika kita ingin mengetahui sorotan karya berkaitan latar belakang sejarah etnik Punan di Sarawak, mahu tidak mahu kita perlu bergantung kepada hasil kajian arkeologi, sosiologi dan antropologi....
.....akan bersambung.....

No comments: